GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


Kuching : Seramai 72 individu di negeri ini menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian berjumlah hampir RM1 juta sepanjang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, penipuan dalam talian membabitkan penyamaran melalui telefon, 'phone scam' dan pinjaman tidak wujud.

Beliau berkata, ketiga-tiga jenis penipuan itu menunjukkan peningkatan pada bulan pertama tahun ini.

"Bagi penyamaran melalui telefon untuk tempoh 1 Januari hingga 31 Januari 2021, sebanyak 24 kes dilaporkan yang membabitkan kerugian melebihi RM252,000.

"Mangsa berusia antara 19 tahun hingga 72 tahun dengan sebahagian besar adalah penganggur, bekerja sendiri dan suri rumah yang semuanya berjumlah 15 kes, lapan kes membabitkan pekerja swasta dan seorang penjawat awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maria berkata, penipuan 'phone scam' pula dilaporkan sebanyak 10 kes dalam tempoh sebulan lalu membabitkan kerugian lebih RM132,000.

"Mangsa berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun membabitkan empat pekerja swasta, empat kakitangan awam dan dua peniaga," katanya.

Bagi kes pinjaman tidak wujud pula, sebanyak 38 kes dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Januari 2021.

"Ia menyebabkan kerugian lebih RM536,000 dengan mangsa berusia antara 18 hingga 69 tahun.

"Kategori pekerjaan mangsa kes pinjaman tidak wujud pula adalah terdiri daripada empat penjawat awam, 19 pekerja swasta dan 15 lagi adalah mereka yang bekerja sendiri, pesara, suri rumah, pelajar dan penganggur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 9:51 PM