APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 400 kg daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan laluan laut di persisiran Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis. FOTO Ihsan APMM Kuala Perlis
APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 400 kg daun ketum yang cuba diseludup ke Thailand menggunakan laluan laut di persisiran Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis. FOTO Ihsan APMM Kuala Perlis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 400 kilogram (kg) daun ketum cuba diseludup ke Thailand menggunakan laluan laut di persisiran pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya menerima maklumat aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran pada 4.15 petang.

Menurutnya, bot peronda dihantar ke lokasi untuk membuat rondaan sebelum ternampak empat individu dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka dilihat sedang leka memunggah muatan plastik hitam disyaki daun ketum dari kereta Proton Waja di persisiran Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis.

"Suspek dipercayai menunggu kedatangan bot untuk menyeludup daun ketum itu, namun mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui daun ketum dalam 37 bungkusan plastik hitam dengan berat 400 kg.

"Kita menganggarkan rampasan daun ketum itu bernilai RM72,000 dan kesemua barangan berkenaan dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 2:11 PM