PENGUATKUASA Kawalselia Padi dan Beras Kelantan memeriksa kampit benih tidak sah di Ketereh. FOTO Ihsan Kawalselia Padi Beras Kelantan
PENGUATKUASA Kawalselia Padi dan Beras Kelantan memeriksa kampit benih tidak sah di Ketereh. FOTO Ihsan Kawalselia Padi Beras Kelantan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Hasil pemantauan sejak lebih sebulan lalu, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) membongkar kegiatan sindiket menjual benih padi tidak sah menggunakan platform e-dagang terkemuka.

Kegiatan yang menawarkan harga lebih sekali ganda daripada skim yang ditawarkan kerajaan, ia dipercayai dijual sejak awal tahun lalu susulan pengumuman kerajaan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal dalam pengedaran benih padi di negara ini.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood berkata, pihaknya mengesan taktik itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Katanya, ia adalah cubaan terbaru selepas pihaknya menggempur sindiket menjual benih kampit putih yang tidak disahkan serta diragui kualitinya di beberapa lokasi seluruh negara tahun lalu.

"Dalam serbuan terbaru di Ketereh Kelantan Selasa lalu, kita merampas 30 kampit benih padi tidak sah seberat 600 kilogram yang dijual secara di platform e-dagang.

"Setakat ini kita dapati beberapa kampit sudah pun dijual secara dalam talian dan kita masih menyiasat dari mana sumber benih ini diperoleh.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi yang dijual dari tempat lain," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, ia dijual pada harga RM70 bagi setiap kampit 20 kilogram dan harganya lebih sekali ganda daripada yang ditetapkan kerajaan iaitu RM35 sekampit.

Katanya, tiada label syarikat atau pun keterangan daripada mana ia diperoleh dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia adalah benih hasilan sendiri atau pun stok lama.

Sementara itu pemerhatian Harian Metro mendapati, beberapa jenis benih padi dijual di atas talian termasuk dari luar negara dengan harga yang pelbagai.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan Pelesenan Membeli Padi 625 yang menetapkan tidak seorang pun dibenarkan membeli padi kecuali di bawah suatu lesen yang dikeluarkan mengikut Peraturan 3.

"Kita juga siasat kes ini mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Membeli Padi) 1996.

"Mereka yang didapati bersalah berdepan tindakan pembatalan lesen dan kita tidak akan berkompromi dengan kegiatan seperti ini," katanya.

Menurutnya, benih padi sah dikawal kerajaan bagi memastikan petani menggunakan benih yang sah untuk mengelakkan padi angin dan mutu padi yang kurang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 1:32 PM