PUTERI Ezora Saronisam mencari bapa kandung. FOTO Ihsan JKM Seremban
PUTERI Ezora Saronisam mencari bapa kandung. FOTO Ihsan JKM Seremban
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sepasang suami isteri sedang mencari bapa kandung kepada anak angkat mereka, Puteri Ezora Saronisam, berusia lima tahun, bagi urusan pendaftaran persekolahan tahun satu.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seremban, berkata pasangan berkenaan yang enggan dinyatakan memaklumkan bapa kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Saronisam Ahmad Zaki.

"Ketika proses awal permohonan anak angkat sebelum ini, ibu bapa angkat kepada kanak-kanak itu hanya dapat berurusan dengan ibu kandungnya.

"Puteri Ezora diserahkan kepada mereka oleh ibu kandung yang tidak berkemampuan untuk menjaga disebabkan kesempitan hidup.

"Bagaimanapun ibu kandung berpisah dan bapa kandung (Saronisam Ahmad Zaki) tidak dapat dikesan sehingga kini," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pasangan suami isteri terbabit sedang menguruskan proses pengambilan Puteri Ezora sebagai anak angkat secara rasmi selain urusan berkaitan pendaftaran persekolahan tahun satu.

Beliau berkata, agensi berkaitan meminta agar berusaha mengesan bapa kandungnya bagi membantu urusan berkenaan.

"Saya berharap agar bapa kandung Puteri Ezora dapat menghubungi Zakhwan di Pejabat JKM Seremban melalui talian 06-6015798 bagi membantu urusan dokumentasi dengan pihak JKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:17 PM