GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pendedahan berhubung ancaman siber dan kebocoran data peribadi adalah isyarat sistem sekuriti siber kerajaan perlu dipertingkatkan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pendedahan pengguna Facebook, Anonymous Malaysia membuktikan sistem sekuriti kerajaan masih perlu diperbaiki supaya tidak sewenang-wenang diceroboh mereka yang mahu mengambil kesempatan.

Menurutnya, isu pencerobohan siber ini sudah berlaku sejak 90-an dan ia seharusnya dipertingkatkan mengikut keperluan semasa.

"Apabila sistem sekuriti siber lemah, ia membuka peluang kepada mereka yang berkemahiran untuk mengambil kesempatan mencuri data yang mungkin dijual kepada pihak ketiga.

"Ini juga memberi ancaman kepada keselamatan negara jika tidak ditangani segera dan menyeluruh," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dari sudut pengguna, orang ramai perlu lebih peka supaya tidak mudah dimanipulasikan pihak tertentu mampu mendapat data peribadi dengan mudah.

Katanya, pengguna telefon bimbit dan komputer perlu memastikan mereka memiliki anti virus terkini agar peranti tidak mudah digodam.

"Semakin hari, pelbagai taktik licik digunakan penggodam dan masyarakat harus lebih berwaspada agar tidak menjadi mangsa.

"Apabila penggodam melihat ada ruang yang boleh digunakan, mereka pasti akan mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna itu sendiri," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dua kenyataan dimuat naik pengguna Facebook, Anonymous Malaysia membabitkan isu kebocoran data dan ancaman serangan siber.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dilapor berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara berkenaan setakat ini.

Terdahulu,Anonymous Malaysia memberi amaran bahawa sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam hingga kini.

Pengguna Facebook itu memaklumkan punca utama ia berlaku kerana pembekal perkhidmatan swasta dan data kerajaan seperti maklumat peribadi digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:00 PM