ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas van dipandunya bertembung dengan sebuah lori di simpang Gedong. FOTO MELVIN JONI
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas van dipandunya bertembung dengan sebuah lori di simpang Gedong. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Serian: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas van dipandunya bertembung dengan lori membawa muatan Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kilometer 68, Jalan Kuching-Sri Aman (simpang Gedong), jam 8.15 pagi tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, 71, yang juga peniaga dari Kampung Gunung Ngeli, Simunjan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan kaki.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada van yang dipandu mangsa keluar daripada simpang sebelum bertembung dengan lori terbabit yang berada di laluan utama menghala ke Sibu," katanya pada kenyataan.

Mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian.

Manakala pemandu lori yang juga lelaki berusia 54 tahun selamat.

"Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan permukaan jalan licin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:38 PM