Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM400,000.

Tertuduh, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima cek Maybank Islamic Berhad berjumlah RM200,0000 daripada Too Pro Market dan cek daripada SFX Management berjumlah RM200,000 yang merupakan aktiviti haram ke dalam akaun Maybank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi di sini, pada 11 dan 13 Oktober 2016.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta ringgit, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam dari Ashikin & Co.

Mahkamah menetapkan jaminan RM80,000 menggunapakai jaminan sedia ada dan menetapkan sebutan semula pada 26 Februari untuk dibicarakan serentak bersama kes sebelum ini di Mahkamah Sesyen 9 Kuala Lumpur.

Pada 23 November lalu, tertuduh bersama seorang pegawai kanan tentera UPNM didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah serta salah guna harta berhubung skim pelaburan yang tidak wujud berjumlah RM920,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 12:50 PM