Gambar hiasan
Gambar hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang wanita penjawat awam kerugian RM26,000 selepas terpedaya dengan janji kenalan yang baharu dikenalinya menerusi media sosial.

Lelaki yang dikenali mangsa melalui Instagram itu kononnya menetap di United Kingdom memberi alasan akan datang ke Malaysia atas urusan menuntut harta milik arwah bapanya yang bernilai RM3 juta dan meminta mangsa yang juga ibu tunggal menanggung semua perbelanjaan sepanjang tempoh suspek berada di Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, perkenalan mangsa yang berusia 40-an dengan suspek yang kononnya bekerja di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa bermula pada Ogos tahun lalu.

"Tidak lama selepas berkenalan, suspek menyatakan ingin menjalinkan hubungan yang lebih intim dan mangsa mula membuat bayaran berjumlah RM2,200 ke akaun bank tempatan kononnya milik rakan suspek di Malaysia bagi tujuan tempahan cincin.

"Sebulan selepas itu, suspek menyatakan akan datang ke Malaysia atas urusan menuntut harta milik arwah bapanya tetapi meminta mangsa menanggung urusan perbelanjaannya sepanjang suspek berada di negara ini.

"Dalam tempoh sebulan, mangsa sudah pun membuat transaksi pindahan wang ke akaun bank yang sama berjumlah

hampir RM10,000," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada hujung September, mangsa mengepos satu kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya ke alamat di Lembah Klang bagi memudahkan suspek membuat pengeluaran wang di sana dan dalam tempoh tiga bulan selepas itu mangsa mendepositkan wang melebihi RM10,000 ke akaun bank miliknya itu bagi tujuan perbelanjaan suspek di Malaysia.

Menurutnya lagi, pada awal Januari lalu, mangsa membuat bayaran berjumlah RM3,000 ke akaun bank tempatan yang berbeza bagi membantu suspek dalam urusannya membuat tuntutan harta milik arwah bapa berjumlah RM3 juta.

"Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, dekat sini, dua hari lalu selepas mengesyaki ditipu dengan jumlah kerugian RM26,000 apabila suspek masih lagi menghubunginya meminta wang.

"Dalam masa yang sama, mangsa juga mendapati ada kemasukan secara berperingkat sejumlah wang lain ke dalam akaun bank miliknya yang diserahkan kepada suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan hukuman jika disabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan penipuan oleh individu yang dikenali melalui dalam talian terutama apabila mereka meminta maklumat kewangan, akaun bank atau wang sebagai bayaran serta pinjaman.

"Selain dari menipu wang, Love Scam juga adalah antara salah satu taktik digunakan oleh penjenayah untuk mendapatkan akaun bank bagi dijadikan sebagai keldai akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:54 PM