UBAT batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
UBAT batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 1,080 botol ubat batuk bernilai RM16,200 di Kampung Tal Tujuh, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika kejadian jam 4 petang itu, anggota membuat rondaan sebelum terserempak dengan sebuah lori dan menahannya.

Katanya, anggota kemudian meminta pemandu lori yang juga warga tempatan berusia 48 tahun mengemukakan kad pengenalan diri.

"Pemeriksaan tubuh badan dilakukan kepada pemandu berkenaan namun tidak menjumpai apa-apa barangan yang salah sebelum anggota bertindak memeriksa lori dan menemui beberapa kotak berwarna coklat.

"Hasil pemeriksaan, kesemua kotak terbabit mengandungi botol diisi cecair kehitaman disyaki ubat batuk.

"Kemudian, anggota menahan pemandu serta merampas lori dan semua barangan terbabit untuk diserahkan Ke Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua ubat batuk yang dirampas ini dipercayai untuk dijual di sekitar Pasir Mas yang mana digunakan untuk tujuan yang salah apabila ia dicampur dengan air ketum bagi memberikan kesan khayal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:10 AM