GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Selepas memberi amaran kepada kerajaan Malaysia minggu lalu, kumpulan penggodam Cyberpunk Team melakukan serangan di beberapa laman sesawang milik kerajaan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tengah malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan kumpulan berkenaan menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook Anonymous Malaysia dan mendakwa mula menyerang beberapa portal kerajaan sejak malam tadi.

Antara yang menjadi sasaran kumpulan itu termasuklah portal kerajaan negeri Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Majlis Perbandaran Selayang.

Kumpulan penggodam itu turut menggodam portal perak.my, bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada ia laman sesawang yang ada kaitan dengan kerajaan negeri Perak.

Semakan Harian Metro mendapati, kumpulan terbabit meninggalkan pesanan di laman sesawang yang digodam dan meminta pentadbir laman sesawang menjaga keselamatan portal mereka.

"Kepada pentadbir laman web (sesawang), kami menemui laman web anda terdedah dengan ancaman penggodaman, sila pastikan laman web anda selamat.

"Kami memohon maaf kerana menggodam laman web anda, jangan cuba mencari kami kerana kami hanya ingin memastikan laman web anda tidak lagi terdedah," kata kumpulan penggodam itu dalam portal yang digodam mereka.

Kumpulan itu turut meninggalkan e-mel untuk berhubung dengan mereka dalam laman sesawang yang digodam. Bagaimanapun semua laman sesawang yang digodam berkenaan pulih seperti sedia kala, hari ini.

Minggu lalu, Cyberpunk Team melalui laman Facebook Anonymous Malaysia kembali muncul menghantui laman sesawang dan aset dalam talian negara ini selepas lima tahun berdiam diri.

Kemunculan kembali kumpulan itu dibuktikan menerusi satu video berdurasi 2.29 minit yang dikongsikan di laman sosial Facebooknya.

Menerusi mesej video itu, kumpulan berkenaan berjanji untuk mengadakan serangan siber terhadap laman web kerajaan dan aset atas talian dikenali sebagai #OpsWakeUp21.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) memandang serius ancaman pihak tertentu mahu menggodam laman sesawang kerajaan menerusi penularan satu video yang dikeluarkan oleh Anonymous Malaysia di platform media sosial baru-baru ini.

MKN dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, sehubungan itu, NACSA sudah mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 10:39 AM