GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Seorang pengawal keselamatan warga asing diberkas polis pada semalam, selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Suspek berusia 47 tahun itu dilaporkan mencabul mangsa di rumah kongsi dekat Sugut, Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian, mangsa bermain di halaman rumah kongsi.

Menurutnya, suspek kemudiannya memanggil mangsa masuk ke dalam biliknya dan mencabul kanak-kanak berkenaan.

"Kejadian disedari oleh ibu mangsa apabila melihat mangsa duduk di rumah suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Wanita itu memeriksa mangsa dan menemui kesan pada badan kanak-kanak berkenaan.

"Selepas itu, suspek dipercayai melarikan diri namun berjaya diberkas polis," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk pemeriksaan lanjut

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 9:38 AM