POLIS menahan lelaki warga India bersembunyi di belakang lori di sekatan jalan raya di sempadan Pahang -Terengganu dekat Chendor. FOTO ihsan polis
POLIS menahan lelaki warga India bersembunyi di belakang lori di sekatan jalan raya di sempadan Pahang -Terengganu dekat Chendor. FOTO ihsan polis
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Lelaki warga India sanggup berpanas dengan bersembunyi di belakang lori dalam cubaan masuk ke negeri ini dari Selangor untuk menghantar pakaian terpakai.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 40-an itu yang sebelum ini 'terselamat' dalam empat sekatan jalan raya (SJR) berakhir selepas kehadirannya disedari pihak berkuasa yang melakukan SJR di sempadan Pahang-Terengganu di Chendor jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sepasukan pegawai dan anggota yang melakukan pemantauan dan tugas sekatan antara negeri menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan.

Katanya, anggota membuat pemeriksaan dan membuka tempat simpanan barang di bahagian belakang untuk pemeriksaan sebelum menemui lelaki warga India bersembunyi.

"Hasil soal siasat, mereka memaklumkan dalam perjalanan dari Selangor ke Kemaman untuk menghantar pakaian 'bundle' namun surat dikemukakan pemandu terbabit menggunakan nama individu lain.

"Warga India itu pula gagal menunjukkan kebenaran rentas negeri daripada polis atau mana-mana penguat kuasa yang berkaitan.

"Pemandu lori terbabit mendakwa membawa lelaki warga India itu bagi menggantikan kelindannya yang tidak dapat bekerja atas beberapa faktor.

"Siasatan mendapati mereka sebelum ini sudah melepasi empat SJR dari Selangor untuk ke Terengganu sebelum ditahan di sini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanyan berkata, pemandu lori terbabit yang menggunakan surat orang lain dikompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, lelaki warga India pula direman untuk siasatan lanjut kerana kegagalan menyediakan dokumen rentas negeri dan dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 1:17 PM