Masidi (kanan), gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Masidi (kanan), gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Sabah mengesahkan empat sekolah di Sandakan ditutup berikutan penularan Covid-19 yang membabitkan guru dan pelajar di sekolah berkenaan.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan, SMK Batu Sapi, SMK Elopura Bestari dan Sekolah Menengah (SM) St Mary, Sandakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun, mengesahkan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan mengarahkan sekolah terbabit ditutup selama 10 hari sejak kelmarin.

"Punca penutupan berikutan beberapa pelajar dan guru yang didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan.

"Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan mengarahkan tindakan penutupan sekolah selama 10 hari untuk menjalankan kerja sanitasi dan membendung penularan Covid-19 di sekolah," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Berita mengenai penutupan sekolah terbabit tersebar di media sosial sejak semalam, namun makluman arahan penutupan itu hanya menyebut untuk menghalang penyebaran jangkitan.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, seramai 10 pelajar dan empat guru dikesan positif melalui ujian saringan yang dibuat dari 20 Januari hingga 26 Januari lalu.

"Mereka terdiri daripada seorang guru di SM St Mary, tujuh pelajar asrama, seorang pelajar luar dan dua guru di SMK Elopura, masing-masing seorang guru dan pelajar di SMK Batu Sapi serta seorang pelajar di SMK Perempuan Sandakan.

"Bagi pelajar yang tidak dijangkiti, sesi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) berjalan seperti biasa iaitu melalui dalam talian dan menggunakan modul pembelajaran bercetak disediakan guru masing masing," katanya.

Setakat ini, katanya, hanya empat sekolah terbabit ditutup akibat penularan Covid-19 di Sabah.

Dalam hal berkaitan, Masidi berkata, satu kes membabitkan tadika swasta turut dikesan di negeri ini sejak 20 Januari lalu berikutan kebenaran pembukaan tadika dan prasekolah.

Sementara itu, seorang pelajar yang dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan masuk ke asrama membawa kepada pengesanan kluster baharu Covid-19 di Ranau, hari ini.

Masidi berkata, Kluster Tinanom itu dikesan melalui siasatan lanjut Jabatan Kesihatan di kampung pelajar terbabit sebelum mendapati ramai positif Covid-19 selepas menjalani saringan.

"Pada hari ini saja sebanyak 22 kes positif Covid-19 dikesan di kluster berkenaan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 46 kes. Kes indeks adalah pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama," katanya.

Beliau berkata, kes positif di kampung terbabit tersebar melalui majlis keramaian yang diadakan oleh sebuah keluarga dengan menjemput jiran menyertai majlis berkenaan.

Selain Kluster Tinanom, satu lagi kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Jalan Sepanggar yang mencatatkan 10 kes baharu dengan kumulatif setakat ini sebanyak 12 kes.

Hari ini Sabah merekodkan 288 kes baharu positif Covid-19 dan 468 pesakit dilaporkan sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 9:01 PM