GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan perkhidmatan Live Chat PTPTN untuk membantu pelanggan membuat semakan, pertanyaan dan aduan bagi urusan pinjaman pendidikan, bayaran balik pinjaman dan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa komited mengenal pasti pendekatan terbaik untuk memudahkan pelanggan berurusan dengan agensi itu dalam suasana norma baharu susulan penularan Covid-19.

"Perkhidmatan Live Chat PTPTN adalah saluran alternatif yang boleh diakses pelanggan dengan mudah dan cepat di kala pandemik Covid-19 sedang melanda.

"Pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan klik pada ikon Live Chat. Kemudahan interaksi ini membolehkan pelanggan berhubung terus secara live dengan pegawai PTPTN yang sentiasa bersedia untuk memberikan maklum balas," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga tidak perlu mempunyai sebarang akaun media baharu untuk menggunakan kemudahan ini.

"Perkhidmatan Live Chat PTPTN ini mula beroperasi sejak 14 September 2020 pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan dikendalikan 16 pegawai bertugas termasuk seorang penyelia.

"Sejak kemudahan ini disediakan hingga 31 Disember 2020, seramai 75,433 pengguna memilih perkhidmatan ini dengan purata harian seramai 993 pengguna," katanya.

Katanya, Live Chat itu turut mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 bagi memberi perlindungan kepada data peribadi pelanggan.

"Sebelum memulakan perbualan, pelanggan perlu melengkapkan lima maklumat iaitu nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, emel dan kategori pertanyaan.

"Selain kemudahan Live Chat, pelanggan juga boleh mengguna saluran e-aduan melalui Portal Rasmi PTPTN atau menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan serta Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon dipaparkan di pautan https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

"Talian Careline PTPTN di 03-21933000 juga terus kekal beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang," katanya.

Menurutnya, semua pelanggan sentiasa menyarankan supaya pelanggan PTPTN menggunakan kaedah transaksi yang lebih selamat iaitu transaksi secara dalam talian bagi urusan bayaran balik pinjaman PTPTN, pembukaan akaun atau penambahan deposit SSPN mahupun pinjaman PTPTN.

"Usaha PTPTN adalah memastikan perkhidmatan pelanggan berada pada tahap optimum dan sentiasa memberikan kemudahan kepada pelanggan.

"Pelaksanaan kemudahan perkhidmatan ini adalah bukti komitmen PTPTN untuk memastikan urusan pelanggan tidak terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kemudahan Live Chat serta lain-lain perkhidmatan yang disediakan oleh PTPTN sewajarnya dimanfaat oleh pelanggan untuk mendapatkan maklum balas dengan lebih cepat dan pantas," katanya.

Merujuk kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PTPTN juga membuat penyelarasan waktu pengoperasian Pejabat PTPTN Negeri dan Pejabat PTPTN Cawangan di seluruh negara.

"Dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara, waktu operasi bagi Pejabat PTPTN Negeri dan Pejabat PTPTN Cawangan adalah terhad jam 9 pagi hingga 3 petang.

"Bagi Cawangan PTPTN yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau pasar raya masih dibuka seperti biasa berdasarkan kelulusan masa pengoperasian pihak pengurusan UTC atau pasar raya berkenaan.

"Pelanggan boleh membuat semakan berkenaan waktu operasi Cawangan PTPTN melalui portal rasmi di www.ptptn.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 1:49 PM