PELARIAN Rohingya berada pantai Kampung Lancok, Aceh, Indonesia pada 25 Jun 2020. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya berada pantai Kampung Lancok, Aceh, Indonesia pada 25 Jun 2020. FOTO AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan manusia dari Indonesia dan Malaysia didapati bekerjasama membawa masuk pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari kem perlindungan sementara di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sindiket akan membahagikan pelarian ini dalam kumpulan kecil.

"Mereka akan membahagikan pelarian dalam kumpulan kecil iaitu seramai empat hingga lima orang sebelum dibawa masuk menggunakan bot-bot kecil.

"Sindiket dari Indonesia akan mengatur pelarian dari kem berkenaan dan di Malaysia pula akan memandu arah di mana mereka akan mendarat," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Zubil berkata, APMM sedia maklum mengenai destinasi terakhir kumpulan pelarian ini adalah Malaysia dan bukan Indonesia.

"Sejak dari awal lagi kita sedia maklum, mereka bukan ingin ke Indonesia tetapi disebabkan kawalan ketat dilaksanakan Ops Benteng menyebabkan kumpulan penyeludup terpaksa memesongkan pelarian ke Indonesia.

"Ia adalah berdasarkan maklumat menerusi tangkapan terdahulu termasuk tangkapan di Langkawi dan tangkapan empat pelarian Rohingya yang melarikan diri dari kem berkenaan baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini bekerjasama dengan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi perkongsian maklumat.

"Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) sentiasa bersiap siaga, sebab itu kini jika terdapat pelarian dari Indonesia yang dikesan radar, pemeriksaan akan terus dilakukan.

"Pelarian ini ingin masuk ke Malaysia disebabkan keluarga mereka tinggal di sini dan mempunyai pekerjaan," katanya.

Katanya, pelarian kini sedang menunggu masa yang sesuai sebelum cuba masuk ke perairan negara.

"Tetapi kita sudah bersedia sepenuhnya dengan aset yang kita ada termasuk dari bantuan agensi yang melaksanakan Ops Benteng," katanya.

Kelmarin, ratusan pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari kem perlindungan sementara di Balai Latihan Kerja (BLK) Lhokseumawe, Aceh untuk memasuki Malaysia.

Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) Indonesia, Mitra Suryono berkata, sejak awal lagi pelarian Rohingya itu memang bertujuan ke Malaysia dan bukan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 1:00 PM