Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0. FOTO Aswadi Alias
Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0. FOTO Aswadi Alias
Amir Mamat

Serdang: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyantuni petugas barisan hadapan serta pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, menerusi sidang video.

Selain bertanya khabar serta mendapatkan perkembangan terkini pesakit, beliau turut mendengar taklimat khas pengoperasian pusat kuarantin berkenaan daripada Pengarahnya, Dr Shahbudin Ibrahim.

Menerusi sidang video itu, Mohd Redzuan juga dimaklumkan mengenai fasa pengoperasian, kemudahan dan fasiliti yang disediakan bagi menampung jumlah pesakit yang ramai di PKRC itu.

Beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kemudahan lengkap yang disediakan kepada pesakit serta petugas kesihatan di situ menerusi perbualan ringkas bersama beberapa individu yang sedang mendapatkan rawatan di situ.

Sebelum mengakhiri sidang video berkenaan, Mohd Redzuan sempat mendoakan kesejahteraan serta berharap semua pesakit serta petugas barisan hadapan dikurniakan kesihatan dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas usaha yang dijalankan mereka sejak mula-mula wabak ini menular di negara kita.

"Saya turut menghargai peranan agensi di bawah portfolio saya iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menguruskan pusat kuarantin ini, selama ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 5:29 PM