Gambar fail, Imam Masjid Negeri Perak, Ustaz Muhammad Haikal Mohd Ayob, 30, membuka pintu utama Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Imam Masjid Negeri Perak, Ustaz Muhammad Haikal Mohd Ayob, 30, membuka pintu utama Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. FOTO Arkib NSTP.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah diadakan di semua masjid dan surau negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Surau itu termasuk yang terletak dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu dikurnia Sultan Nazrin selepas menimbang sembah cadangan MAIPk yang berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Bagaimanapun, katanya, had maksimum jemaah ditetapkan kepada 40 orang bagi masjid atau surau Solat Jumaat, selain ketika menunaikan solat fardu dan jenazah dengan ia tidak termasuk ahli jawatankuasa.

Menurutnya, jemaah juga hanya dalam kalangan warganegara Malaysia berusia antara 16 tahun hingga 70 tahun, sementara aktiviti keagamaan yang dibenarkan adalah ketika waktu antara selesai solat Maghrib dan menjelang Isyak.

"Tidak dibenarkan sebarang acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di kawasan pekarangan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan supaya semua masjid dan surau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan mematuhi syarat ditetapkan mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak yang berkuat kuasa mulai esok.

Katanya, baginda menitahkan agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari bagi memohon supaya bencana kesihatan ini dapat dibendung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 12:54 PM