BOT berkenaan.
BOT berkenaan.
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas, manakala dua rakan senegara selamat selepas bot dinaiki karam, dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal tongkang pasir berhampiran Pulau Talang di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian pada 4 pagi dan di kedudukan 10.3 batu nautika dari pulau berkenaan.

Ketiga-tiga warga asing terbabit berkerja di atas bot nelayan tempatan berkenaan.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menerima laporan daripada Pusat Operasi Maritim Ibu Pejabat Putrajaya pada 7.15 pagi, semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menghantar Kapal Maritim Tugau dan Bot Benteng 6 ke lokasi dengan turut mendapat bantuan pesawat udara CE 208 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, kapal itu dipercayai 'tersangkut' pada pukat bot nelayan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua kru berada di atas kapal tongkang pasir untuk menyelamatkan diri, manakala seorang lagi kru berusia 40 tahun disyaki hilang.

"Pasukan unit selam APMM Perak digerakkan ke lokasi kerana bot berkenaan dilaporkan hampir tenggelam," katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Beliau berkata, kedua-dua kru yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut. Katanya, operasi mencari mangsa diteruskan 7 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 8:27 AM