98 peratus pertubuhan perniagaan di negara ini terdiri perusahaan mikro dan PKS.
98 peratus pertubuhan perniagaan di negara ini terdiri perusahaan mikro dan PKS.
Oleh Suliati Asri; Essa Abu Yamin; Ruwaida Md Zain; Mohd Rafi Mamat dan Yun Mikail


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) mempercepatkan pelaksanaan Skim Mikrokredit bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui institusi pembangunan kewangan adalah keputusan yang tepat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Dr Zariyawati Mohd Ashhari berkata, 98 peratus pertubuhan perniagaan di negara ini terdiri perusahaan mikro dan PKS.

Katanya, mereka adalah tulang belakang ekonomi negara dan langkah mempercepatkan pelaksanaan skim mikrokredit itu sangat penting bagi memastikan sumbangan PKS kepada ekonomi negara kekal signifikan.

"Dengan kemudahan mikrokredit ini, ia membantu perusahaan mikro serta PKS yang mempunyai kesulitan aliran tunai kerana berdepan cabaran besar ekoran penularan Covid-19.

"Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun adalah institusi pembangunan kewangan yang ditubuhkan bagi membantu pembiayaan PKS supaya sektor PKS lebih kukuh, berkembang seterusnya menyokong pembangunan ekonomi negara.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

"Jadi, syarat pembiayaan daripada institusi ini lebih mudah berbanding bank komersial selain pengusaha mikro atau PKS boleh memilih jenis pembiayaan mikrokredit yang sesuai dengan perniagaannya tanpa perlu menyediakan cagaran untuk mendapatkan pinjaman tersebut," katanya.

Dr Zariyawati berkata, selain kos pembiayaan mikrokredit atau kadar faedah dikenakan lebih rendah, terdapat beberapa jenis skim mikrokredit disediakan BSN dan Tekun mengenakan kadar faedah sifar ketika pandemik ini.

"Menerusi pembiayaan itu, peminjam juga boleh menangguhkan pembayaran pinjaman bulanan sehingga enam bulan selepas mendapat kelulusan kemudahan mikrokredit.

"Kemudahan serta bantuan ini sangat baik kerana membolehkan pengusaha mikro dan PKS menampung kesulitan aliran tunai dalam beberapa tempoh sebelum pendapatan perniagaan pulih," katanya.

Proses mendapatkan kemudahan disediakan itu kata Dr Zariyawati, cukup mudah dan boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun katanya, jika perusahaan tidak berapa pasti dan tidak faham syarat serta dokumentasi disediakan, ia boleh melambatkan proses kelulusan kemudahan mikrokredit.

"Tidak hanya pengusaha berdaftar, terdapat juga skim kemudahan mikrokredit untuk usahawan yang tiada lagi Pendaftaran Perniagaan (SSM) atau lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebagai contoh, Skim Pembiayaan Informal (SPIN) ditawarkan Tekun. Dengan pembiayaan berjumlah RM1,000 hingga RM5,000, ia mungkin kecil tetapi dapat membantu terutama usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan dan proses kelulusannya hanya mengambil masa tujuh hari bekerja tertakluk terma dan syarat.

"Oleh itu, saya menasihati pengusaha mikro dan PKS menghubungi pegawai yang menguruskan kemudahan ini di institusi kewangan pilihan sebelum meneruskan permohonan bagi memastikan proses kemudahan mikrokredit berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan itu kerana kebanyakan peniaga kini sudah kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan.

Bagaimanapun, Rosli berharap jika boleh sebaiknya urusan permohonan itu dipermudahkan sekali gus mengelak peniaga berulang alik ke bank yang berkenaan bagi memenuhi keperluan permohonan.

"Dalam keadaan Covid-19 ini, orang susah. Bila pergi ke bank untuk menguruskan permohonan, mereka perlu cuti dan tidak dapat berniaga.

"Jika peniaga ini perlu berulang-alik ke bank atas urusan permohonan pembiayaan ini, ia menyusahkan peniaga kerana dalam keadaan sekarang, nak dapatkan untuk pun susah. Mereka boleh kehilangan pendapatan walaupun hanya sehari dua tidak berniaga," katanya.

Rosli yang juga Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, secara peribadi beliau tidak menggalakkan peniaga terutama penjaja kecil membuat pinjaman dan menggalakkan mereka menggunakan modal ada untuk meneruskan perniagaan.

Katanya, jika peniaga itu terdesak dan memerlukan pembiayaan, manfaatkan ia sebaiknya.

"Dengan pandemik Covid-19 ini, sangat sukar peniaga terutama peniaga kecil dan penjaja memperoleh keuntungan.

"Jadi, selain menyediakan pembiayaan, saya berharap kerajaan dapat meringankan beban peniaga menerusi pemberian geran atau bantuan one off sebanyak RM1,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:01 AM