Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Lebih 400 peniaga di Pasar Siti Khadijah, di sini, merayu pengecualian bayaran sewa kedai selama tiga bulan susulan pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Pasar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar, berkata pihaknya memohon kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam ( MPKB-BRI) supaya mempertimbangkan permohonan itu susulan kehilangan pelanggan hampir 95 peratus.

Katanya, situasi terbabit dialami peniaga sejak Mac 2020 lagi namun ia semakin 'parah' sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 16 Januari lalu, sehingga semua peniaga di tingkat tiga (kedai pakaian) terpaksa ditutup sepenuhnya.

"Pihak kami akur dengan saranan kerajaan melaksanakan PKP, bagi mengekang penularan wabak, tetapi dalam masa yang sama merayu pihak bertanggungjawab membantu meringankan beban golongan peniaga sepanjang tempoh pandemik.

"Boleh dikatakan, bermula Mac tahun lalu sehingga hari ini, hanya dua bulan sahaja peniaga ini dapat 'bernafas' dan menjalankan perniagaan seperti biasa dan ia kembali terjejas selepas pelaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKP.

"Selain kekangan wang untuk membayar sewa kedai, peniaga turut mengalami masalah tunggakan hutang dengan pemborong selain lambakan pakaian yang menyebabkan kerugian besar," katanya ketika ditemui media di Pejabat Persatuan Peniaga Bumiputera Pasar Siti Khadijah, di Tingkat Satu, Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Ahmad Nazri yang turut berniaga di pasar itu mengakui apa yang berlaku kini adalah pengalaman paling teruk buat peniaga sepertinya selepas lebih 20 tahun bergelar usahawan di Pasar Siti Khadijah.

"Tingkat satu pasar terbabit menempatkan premis yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional seperti keropok, serunding serta dodol manakala, tingkat kedua pula sepenuhnya menjual kain seperti batik dan kain sembahyang," katanya.

Sementara itu, peniaga, Aminah Musa, 47, berkata dia dan suami, Yusri Yusuf, 50, hilang punca pendapatan memandangkan perniagaan pakaian di pasar itu adalah satu-satunya mata pencarian mereka sekeluarga.

"Kami terpaksa menutup terus kedai selepas PKP dilaksanakan dan ada mencuba nasib berniaga melalui dalam talian tetapi tidak mendapat sambutan memandangkan saingan sengit.

"Tambahan pula, kebanyakan pelanggan kami adalah mereka yang lebih suka membeli dengan datang terus ke kedai berbanding melalui maya kerana lebih berpuas hati dan memudahkan mereka memilih mengikut citarasa masing-masing," katanya yang berharap rayuan mereka diterima pihak yang berkenaan.

Lebih 400 peniaga di Pasar Siti Khadijah, merayu pengecualian bayaran sewa kedai selama tiga bulan susulan terjejas akibat pandemik COVID-19.
Lebih 400 peniaga di Pasar Siti Khadijah, merayu pengecualian bayaran sewa kedai selama tiga bulan susulan terjejas akibat pandemik COVID-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 5:18 PM