Mazilah Ali (kanan) mengadakan kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada anak-anaknya waktu balik makan tengahari di kediaman mereka di Taman Sri Kluang di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Mazilah Ali (kanan) mengadakan kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada anak-anaknya waktu balik makan tengahari di kediaman mereka di Taman Sri Kluang di Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: Lapan beradik di Taman Sri Kluang di sini, terpaksa menunggu ibu mereka balik makan tengah hari atau habis waktu bekerja sebelum dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ini kerana hanya ibu mereka Mazilah Ali, 45, yang memiliki telefon pintar yang boleh digunakan untuk mengikuti kelas maya itu.

Menurut Mazilah, lapan daripada sembilan anaknya yang berusia enam hingga 17 tahun terpaksa menempuhi kesukaran mengikuti PdPR kerana kekangan kewangan bagi mendapatkan peranti baharu.

Katanya, suaminya, Hairi Umar,42, hanya menggunakan telefon bimbit biasa dan dia tidak bekerja lantaran masalah kesihatan sejak setahun lalu.

"Saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di taman perumahan ini manakala suami sebelum bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu akibat penyakit gout.

"Pendapatan saya sekitar RM1,300 sebulan banyak digunakan untuk keperluan keluarga seperti sewa rumah RM350 sebulan, bil elektrik dan air serta keperluan dapur menyebabkan saya tidak mampu membelikan peranti atau gajet bagi anak-anak mengikuti PdPR," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Mazilah, ketika balik makan tengah hari, dia akan mendahulukan tiga anaknya yang bersekolah menengah untuk mengikuti PdPR dan jika berkesempatan akan disambung dengan anak yang belajar di Tahun 4 dan 6.

"Manakala anak-anak yang belajar di Tahun 1, 3 dan Tabika disambung semula selepas saya tamat waktu bekerja di sebelah petang.

"Keadaan ini menyebabkan anak-anak saya terlewat mengikut PdPR dan ia secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai murid terakhir menghantar semula tugasan yang diberikan," katanya.

Mazilah berkata, satu-satunya telefon pintar yang ada juga diperlukan olehnya di tempat kerja menyebabkan dia tidak boleh meninggalkannya di rumah.

"Tiada pilihan, saya terpaksa melakukan seperti ini supaya anak-anak dapat mengikuti PdPR. Mujur tempat kerja saya dekat dengan perumahan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 3:11 PM