Jawahir Hussin (kanan) menerangkan cara menggunakan tablet. FOTO ADNAN IBRAHIM
Jawahir Hussin (kanan) menerangkan cara menggunakan tablet. FOTO ADNAN IBRAHIM
Oleh Adnan Ibrahim


Kluang: "Syukur dan terima kasih. Hari ini anak-anak dapat sumbangan tablet untuk mereka belajar," kata Shila Borhan, 36, ibu kepada lima beradik yang terpaksa berkongsi satu telefon pintar untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ibu tunggal lapan anak berusia empat hingga 12 tahun itu berkata, selepas kisah anak-anaknya disiarkan portal Harian Metro, Jumaat lalu dia dihubungi pelbagai pihak yang menyuarakan hasrat untuk membantu.

Hari ini Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor berkunjung ke rumah Shila di Taman Sri Kluang di sini, untuk menyerahkan sebuah tablet bagi kegunaan anak-anaknya yang bersekolah mengikuti PdPR.

"Inilah kehidupan kami yang hanya bergantung hidup kepada jualan kuih, biskut dan kek mengikut tempahan orang, kadang-kadang banyak dan selalunya tiada langsung.

"Bagaimanapun tekad untuk membesarkan anak-anak tetap ada menyebabkan saya perlu memberikan tumpuan khusus kepada pelajaran mereka walaupun terpaksa berkongsi satu telefon bimbit untuk mengikuti kelas secara maya ketika ini.

"Dengan sumbangan tablet ini, sekurang-kurangnya dapat melancarkan pembelajaran anak-anak dan membolehkan mereka menyiapkan kerja sekolah dengan lebih cepat," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Terdahulu sumbangan diserahkan Setiausaha Wanita PN Negeri Johor, Jawahir Hussin. Hadir sama Penolong Bendahari Srikandi Bersatu Johor, Zeti Zanariah Miskam dan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kluang, Zaiton Akib.

Sementara itu, Jawahir berkata, dia berharap ada lagi pihak yang sudi tampil membantu keluarga ini khususnya keperluan untuk PdPR.

"Pihak kami akan berusaha untuk terus membantu keluarga ini termasuk cadangan untuk menempatkan anak-anaknya di dalam asrama desa di Sekolah Kebangsaan Taman Kluang Barat.

"Malah kami juga akan membantu perniagaan Shila supaya dia diberikan perhatian untuk meningkatkan pendapatan bagi menyara keluarga.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan akibat kekangan hidup, lima anak Shila terpaksa berkongsi telefon bimbit miliknya untuk mengikuti PdPR.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menunggu giliran untuk menyiapkan kerja sekolah yang dihantar melalui aplikasi WhatApps.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 7:22 PM