Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Permintaan terhadap komputer riba meningkat mendadak susulan penggunaannya bagi sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.

Namun, penggunaan peralatan itu menjadi bebanan khususnya untuk mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak.

Penjual komputer riba terpakai, Muhammad Syafiq Abu Hassan berkata, permintaan komputer riba terpakai naik mendadak sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, harga komputer riba bermula RM500 hingga RM1,500 boleh digunakan untuk kelas atas talian murid.

"Permintaan memang tinggi dan ibu bapa yang mempunyai anak ramai bersekolah dan kurang berkemampuan akan membeli komputer riba terpakai.

"Spesifikasi yang ditawarkan juga sudah memadai untuk membolehkan murid menggunakan aplikasi seperti Zoom dan Google Meet untuk sesi pembelajaran atas talian.

"Saya juga faham kesusahan dialami ibu bapa, jadi sebagai peniaga saya berusaha menawarkan komputer riba mampu milik agar dapat dibeli untuk kegunaan anak mereka," katanya yang menjalankan perniagaan DND Service Laptop.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Tinjauan di pusat jualan gajet juga mendapati, ramai peniaga menawarkan promosi bagi komputer riba dan tablet.

Harga pula ditawarkan mengikut spesifikasi barangan berkenaan dan bergantung kepada kesesuaian bajet pembeli.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, pihaknya turut memantau penjualan komputer riba dan gajet yang meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, setakat ini tiada laporan diterima mengenai tindakan peniaga yang menjual pada harga melampau.

"Jika pengguna dapati ada peniaga yang ambil kesempatan menjual komputer dan gajet pada harga tidak munasabah, salurkan aduan kepada KPDNHEP.

"Tindakan akan diambil terhadap peniaga terbabit mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 2:45 PM