MURID mengulang kaji pelajaran dengan menonton siaran TV pendidikan (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
MURID mengulang kaji pelajaran dengan menonton siaran TV pendidikan (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk meningkatkan kerjasama dengan beberapa lagi stesen televisyen untuk menambah tempoh masa rancangan TV Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, ini kerana lebih 90 peratus rumah di negara ini memiliki televisyen.

Katanya, jumlah pemilikan televisyen yang tinggi itu mampu menjadikan capaian rancangan TV Pendidikan lebih meluas.

"Kita tidak ada membuat siaran TV Pendidikan sebelum ini kerana kita sudah pun bergerak kepada ke arah siri dalam talian menggunakan laman sesawang, tetapi tahun lalu beberapa kekangan kita lihat seperti (isu) peranti dan capaian internet.

"Jadi, bagaimana pembelajaran boleh berlaku di rumah, kita sudah kembalikan TV Pendidikan berbentuk Terrestrial," katanya dalam sidang media atas talian, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan beberapa pihak yang tular di media sosial supaya diadakan pembelajaran melalui siaran televisyen.

Habibah berkata, pihaknya memulakan kembali TV Pendidikan dengan Okey TV dan Astro Tutor.

"Jadual di Okey TV ialah selama dua jam sehari dari Isnin hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 1.55 petang manakala di Astro Tutor selama empat jam di saluran 601 dan 603.

"Kemudian kita tambahkan lagi di NTV7 sebanyak tiga jam sehari, Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

"Keseluruhannya sembilan jam sehari. Kita sedang merancang untuk bekerjasama lagi dengan pihak lain (stesen televisyen) supaya kita boleh tambah dari segi waktu supaya mengadakan lebih siaran TV Pendidikan ini," katanya.

Ini kerana, katanya, ia adalah satu pendekatan yang mana pembelajaran itu boleh sampai meluas kepada murid dan pelajar.

"Cuma bagaimana kita boleh tambah masa itu dan program yang disediakan, itu sedang difikirkan oleh KPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:10 PM