Mohd Amin Jalil


Seremban: Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA) yang beroperasi di Taman Satria Senawang di sini, terpaksa mendapatkan khidmat guru tuisyen berikutan kesukaran menyediakan kemudahan bagi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ini kerana, pengurusan pusat itu hanya mampu menyediakan dua telefon bimbit yang digunakan secara bergilir-gilir 10 murid dan pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun yang menghuni pusat terbabit.

Pengasasnya, Mohd Zatullah Kamarudin berkata, penyediaan telefon bimbing menjadi satu permasalahan besar buat pusat jagaan itu ketika ini.

Katanya, pihaknya terpaksa mendapatkan khidmat guru tuisyen bagi membantu sesi ulang kaji penghuni pusat jagaan itu.

"Kami terpaksa upah seorang guru tuisyen untuk 10 murid dan pelajar dengan bayaran RM600 sebulan, dia akan pantau mereka untuk semua subjek.

"Itu saja jalan terbaik pada masa sekarang. Harapnya tak lama lagi mereka boleh pergi ke sekolah seperti biasa dan belajar secara bersemuka dengan guru," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zatullah berkata, menjadi hasratnya untuk memastikan semua penghuni pusat berkenaan dapat mengikuti PdPR ini dengan baik dan memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

"Dua telefon bimbit yang digunakan ini pun kepunyaan warden dan pekerja bahagian pentadbiran.

"Ibu bapa yang ada dua anak pun kadangkala mengeluh nak sediakan kemudahan PdPR, inikan pula kami yang ada 10 anak-anak (yatim), " katanya.

Beliau mengalu-alukan pihak yang sudi menyumbangkan telefon bimbit atau komputer riba berserta internet untuk kegunaan penghuni pusat itu yang perlu mengikuti PdPR.

"Mereka semua menunjukkan semangat yang tinggi untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini, namun kesukaran belajar secara dalam talian mungkin dibimbangi akan menjejaskan fokus mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:27 PM
MOHD Zatullah memantau anak yatim menjalani pembelajaran dengan kaedah PdPR secara atas talian. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHD Zatullah memantau anak yatim menjalani pembelajaran dengan kaedah PdPR secara atas talian. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin