FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan (TP) seluruh negara mula melaksanakan pembelajaran dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang memberi manfaat kepada 35,984 murid.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata kaedah PdPR itu diadakan selepas pihaknya menangguhkan operasi pembukaan bersemuka Tabika Perpaduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"PdPR dilaksanakan secara lancar di seluruh Tadika Perpaduan melalui dalam talian, 'offline' atau luar talian (off-site). Daripada 1,781 buah Tabika Perpaduan, sebanyak 1,067 daripadanya atau 60 peratus menggunakan PdPR secara 'offline' atau bahan pengajaran dihantar melalui Google Classroom, WhatsApp, Telegram, emel dan platform yang sesuai.

"Selain itu sebanyak 658 buah atau 37 peratus mengikuti pembelajaran secara dalam talian iaitu secara langsung menerusi aplikasi Zoom, Google Meet, Webex dan seumpamanya.

"Hanya tiga peratus atau 56 tabika mengikuti pembelajaran secara pendekatan luar talian (off-site) iaitu murid diberi tugasan berkaitan dengan lebih awal secara manual," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Halimah berkata, kaedah secara luar talian akan digunakan apabila terdapat kekangan capaian internet dan ketidakhadiran ibu bapa bersama semasa sesi pembelajaran berlangsung.

"Inisiatif dan kreativiti tenaga pengajar kelas Tabika Perpaduan dalam perlaksanaan PdPR ini akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui latihan dan sokongan peralatan bagi memanfaatkan kemajuan teknologi dan memastikan pembelajaran murid berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu Halimah turut mengingatkan semua jentera perpaduan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan memastikan pengamalan norma baharu supaya dapat bersama memutuskan rantaian Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 4:50 PM