HALIMAH MOHAMED SADIQUE
HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan RM1.5juta kepada 115 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara bagi menyediakan Peralatan Perlindungan (PPE) untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan ketika membendung wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata sehingga 4 Januari lalu sebanyak 176,043 PPE sudah siap dihasilkan oleh KRT di 13 negeri antaranya Kuala Lumpur, Labuan, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sarawak dan Sabah.

Katanya, program berkenaan dijalankan dalam lima fasa pengagihan dan dijangka menghasilkan jumlah keseluruhan 400,000 unit PPE menjelang akhir Februari ini.

"Peralatan PPE yang dihasilkan adalah baju isolasi, topi, penutup kasut, penutup but dan alatan pelindung muka. Penyediaan PPE oleh KRT ini adalah inisiatif yang dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa.

"Kementerian komited untuk meneruskan sumbangan ini dalam usaha kita bersama bagi memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Halimah berkata, pembuatan PPE ini menggunakan tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 2:11 PM