Omar Ahmad


Johor Bahru: Meskipun sudah berbulan tidak menjalani sesi persekolahan bersemuka berikutan Covid-19, pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap bersemangat untuk memulakan sesi baharu itu, hari ini.

Pelajar Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Mardhiah Izam Nawi, 18, berkata belajar di sekolah lebih bagus kerana semua permasalahan atau persoalan boleh diajukan terus kepada guru.

Dia juga berharap sesi persekolahan itu berjalan lancar hingga tarikh peperiksaan.

"Berbanding apabila belajar di rumah secara dalam talian, kadang-kadang tiada kesedaran atau kesungguhan untuk menimba ilmu.

"Belajar di sekolah lebih rasa nikmatnya walaupun dengan suasana norma baharu, saya yakin akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh ketika dalam kelas," katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu, hari ini.

PELAJAR SMK Sultan Ismail diperiksa suhu badan dan diberi pensanitasi tangan sebelum memasuki sekolah. FOTO Omar Ahmad.
PELAJAR SMK Sultan Ismail diperiksa suhu badan dan diberi pensanitasi tangan sebelum memasuki sekolah. FOTO Omar Ahmad.

Sependapat dengan Mardhiah, Adlina Mohd Marsidi, 18 berkata, dia sudah melakukan persiapan awal untuk kembali ke sekolah sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan sesi baharu pada 31 Disember lalu.

Malah, dia juga lebih gemar belajar di sekolah berbanding pembelajaran secara dalam talian kerana lebih fokus.

"Semangat pergi sekolah hari ini, sebab saya pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepatutnya tahun lalu, jadi saya memang nak cepat duduki pemeriksaan itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti negeri Johor (KPIBPK), Datuk Yahya Jaafar berkata, rata-rata pelajar gembira hadir ke sekolah hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya mengambil kira kebimbangan ibu bapa mengenai penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat dan KPIBPK turut terbabit serta memantau proses pengendalian prosedur operasi standard (SOP) dibuat sekolah.

"Sebanyak 22 sekolah telah dibuat sanitasi dan segala SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipatuhi termasuk penjarakan fizikal, mengamalkan sanitasi dan yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:53 AM