Datuk Seri Ahmad Said disahkan positif Covid-19.
Datuk Seri Ahmad Said disahkan positif Covid-19.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said disahkan positif Covid-19, hari ini.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri turut mengesahkan isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud positif wabak itu.

Beliau yang dihubungi mengesahkan kini dirawat di wad pesakit Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

"Saya dan isteri menjalani ujian saringan dan calitan Sabtu lalu, selepas sehari pulang dari Kuantan.

"Hasil keputusan ujian saringan dan calitan mengesahkan saya dijangkiti virus Covid-19," katanya sambil menjelaskan tidak dapat mengesahkan punca jangkitan.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kijal berkata, dia pulang ke Kijal dari Kuantan, Pahang, pada Jumaat lalu.

"Saya dan isteri tidak menunjukkan sebarang simptom, hanya mengalami keletihan, sebelum saya secara sukarela melakukan ujian saringan dan calitan.

"Kami kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 10:17 PM