Gambar fail, kanak-kanak di Tabika Perpaduan Tok Raya 2, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, kanak-kanak di Tabika Perpaduan Tok Raya 2, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Perpaduan Negara mengarahkan semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Katanya, penutupan itu juga mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu lalu serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.

"Bermula esok semua murid Tabika Perpaduan Tahun 2021 di seluruh negara akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), menggunakan medium komunikasi secara dalam talian," katanya melalui suatu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan langkah itu bertujuan membantu mencegah penularan wabak Covid-19 selain, memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan.

Pada Sabtu lalu, melalui kenyataan dikeluarkan KPM, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok.

Ia membabitkan pelajar bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:52 AM