ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia dan Australia mengesahkan komitmen terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) termasuk sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan FPDA yang akan dianjurkan negara ini pada tahun ini.

FPDA yang ditandatangani pada 1971, menggabungkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Komitmen hari ini dizahirkan dalam perbualan antara Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima panggilan telefon rakan sejawatnya Menteri Pertahanan Australia Linda Reynolds.

Dalam kenyataan media Kementerian Pertahanan (Mindef), kedua-dua menteri juga memberi penekanan ke atas kekuatan dan kepentingan hubungan pertahanan dua hala di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia.

Selain itu, mereka turut menyentuh mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-dua menteri turut berkongsi pengalaman kementerian masing-masing dalam menangani situasi Covid-19.

Dalam hal itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada Australia di atas sumbangan peralatan kepada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sumbangan berkenaan akan membantu meningkatkan kapasiti ATM dalam menghadapi cabaran Covid-19," kata kenyataan media oleh Mindef itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 4:48 PM