GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Penjawat awam kerugian RM200,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Lelaki berusia 37 tahun itu dilaporkan dihubungi suspek yang mendakwa dari Pejabat Pos Sabah dan memaklumkan maklumat dirinya disalahgunakan bagi penghantaran kad mesin juruwang automatik (ATM) serta cek, antara Oktober hingga November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, mangsa juga dihubungi ahli sindiket berkenaan yang menyamar sebagai Polis Sabah memaklumkan dia terbabit dengan kes penggubahan wang haram.

"Mangsa panik dan cemas dengan panggilan itu sebelum mengikut arahan diberikan dan membuat pembayaran bagi membersihkan namanya dari kes penggubahan wang haram.

"Bermula 15 hingga 18 November lalu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat berjumlah RM200,000 ke dalam akaun bank yang diberikan ahli sindiket bagi menyelesaikan kes yang kononnya membabitkan mangsa.

"Dia hanya menyedari dirinya ditipu apabila menghubungi Polis Sabah dan terkejut kerana dimaklumkan mangsa ditipu. Satu laporan polis dibuat olehnya di Balai Polis Batu Pahat, semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan pemindahan wang kepada akaun bank individu tidak dikenali.

"Jangan panik ketika terima panggilan dan perlu diketahui, polis tidak pernah kenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan apa juga kes jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 1:26 PM