Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis masih menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan remaja perempuan yang dia dirogol seorang tahanan lain di lokap Balai Polis Pusat Miri, 9 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian itu memang berlaku dan tahanan lelaki terbabit sudah didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari depan.

"Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sehingga siasatan selesai dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Remaja perempuan berusia 16 tahun itu dalam laporan polis yang dibuatnya pada 16 Januari lalu mendakwa dia ditahan oleh sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut, di Miri pada 8 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian haram.

Dia kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Dakwanya lagi, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Antara jam 4 hingga 5 pagi katanya, seorang tahanan lelaki yang memiliki kunci lokap tahanan wanita membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis itu sebelum merogolnya.

Berikutan itu, dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu digantung kerja serta-merta sementara siasatan sedang dijalankan.

Berita berkaitan

Remaja perempuan dakwa dirogol dalam lokap

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 10:34 AM