Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Selepas diburu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak lebih empat tahun lalu, seorang lelaki Bangladesh yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen akhirnya diberkas di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek berusia 32 tahun itu dipercayai menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen yang pernah ditumpaskan JIM pada 2017.

Bagaimanapun, suspek terbabit meloloskan diri dan bersembunyi dalam serbuan berkenaan.

"Usaha mengesan suspek dilakukan berterusan sehingga kegiatan suspek dikesan semula pada Mac tahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"JIM merampas pelbagai peralatan pemalsuan dokumen milik suspek. Bagaimanapun suspek diberkas kelmarin," katanya.

Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi dengan menyewa dua pangsapuri berdekatan bagi tujuan mengelirukan agensi penguat kuasa.

"Sebuah unit digunakan sebagai tempat penginapan manakala unit lain dijadikan markas memproses dokumen palsu imigresen," katanya tadi.

Khairul berkata, suspek turut menjalankan jenayah itu dengan bantuan rakan senegara berusia 25 tahun.

Menurutnya, suspek mendapatkan pelanggan dengan mengiklankan perkhidmatan menerusi aplikasi WhatsApp serta menggunakan orang tengah untuk mengutip pasport dan bayaran dalam kalangan pelanggan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

SEBAHAGIAN barang rampasan pada sidang media mengenai penumpasan sindiket pemalsuan dokumen Imigresen. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN barang rampasan pada sidang media mengenai penumpasan sindiket pemalsuan dokumen Imigresen. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Untuk penghantaran pasport siap, suspek menyembunyikan barang berkenaan di tempat tertentu dan mengambil gambar kawasan disorok sebelum diberikan kepada pelanggan.

"Suspek mengenakan bayaran RM300 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, RM20 sekeping masing-masing bagi iKad dan Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta RM150 dikenakan kepada pasport palsu pelbagai negara.

"Setiap hari dianggarkan 150 pelanggan mendapatkan perkhidmatan sindiket ini," katanya.

Tambah Khairul, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut merampas RM8,300, 62 pasport Bangladesh dan masing-masing satu pasport Myanmar dan Indonesia, lima ikatan kulit pasport pelbagai negara, lapan pelekat palsu Malpass tidak bercetak dan 11 pelekat palsu Malpass bercetak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:57 PM