DATUK Seri Mustapa Mohamed. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Mustapa Mohamed. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang disahkan positif Covid-19 Sabtu lalu memaklumkan kesihatan beliau dalam keadaan baik dan tiada batuk, melainkan suara sedikit parau.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu berkata, suhu badannya juga dalam keadaan normal dan beliau berterima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, doa serta solat hajat.

"Di Hospital Raya Perempuan Zainab II (HRPZ II), doktor, jururawat dan seluruh warga hospital memberikan perkhidmatan terbaik.

"Saya juga yakin warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan barisan hadapan di seluruh negara sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

"Bagi mereka yang sedang dirawat di pusat kuarantin atau di hospital amat memahami betapa tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara," katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook (FB).

Mustapa berkata, sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, beliau amat memahami kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam iaitu demi negara, wabak itu perlu dikawal dengan penuh ketegasan.

Katanya, pengumuman darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri hari ini amat penting bagi memastikan kita menang dalam memerangi Covid-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi.

Beliau turut berharap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kerana rakyat perlukan pertolongan.

"Dengan hanya bersatu kita boleh tangani krisis yang amat mencabar ini. Hentikan berpolitik, letakkan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan.

"Tanggungjawab kita sebagai rakyat juga amat besar. Jangan leka daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka. Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita.

"Ya Allah, kami berlindung padaMu daripada segala penyakit dan mala petaka. Permudahkanlah urusan kami semua," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian berkenaan Sabtu lalu.

Mustapa yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa kini menjalani rawatan di HRPZ II.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Berita berkaitan

  • Tokpa positif Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:16 PM