SAIFUDDIN (kanan) bertanya khabar Nurul Syaza ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Ihsan Parlimen Indera Mahkota
SAIFUDDIN (kanan) bertanya khabar Nurul Syaza ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Rangin, Kuantan. FOTO Ihsan Parlimen Indera Mahkota
Asrol Awang

Kuantan: Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang menunjukkan keprihatinan itu ketika beliau meninjau kawasan banjir di sekitar Kampung Bukit Rangin, Kampung Chendering, Sungai Isap dan Permatang Badak dalam Parlimen Kuantan serta Paya Besar.

Atas dasar prihatin, Saifuddin menyumbang dua tiket penerbangan untuk Muhammad Faqish Aryan Khairy Aswan dan ibunya, Nurul Syaza A Ghani, 29 dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

Muhammad Faqish akan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 Januari ini.

Saifuddin berkata, sumbangan tiket penerbangan itu bagi memastikan perjalanan dua beranak berkenaan ke IJN berjalan lancar.

"Saya bimbang adik Muhammad Faqish tidak dapat mendapatkan rawatan sekiranya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Jalan Pekan-Muadzam Shah terputus akibat ditenggelami air.

"Tempahan tiket penerbangan sudah dibuat, semoga Muhammad Faqish dapat menjalani rawatan dan inilah yang termampu kami lakukan," katanya kepada media.

Sementara itu, Nurul Syaza berkata, dia bersama suami, Khairy Aswan Bahari, 38, berterima kasih di atas keprihatinan Saifuddin.

"Sebelum ini, kami terfikir yang anak mungkin sukar mendapatkan rawatan kerana laluan ditenggelami banjir.

"Syukur di atas sumbangan Datuk (Saifuddin). Keprihatinan beliau memudahkan urusan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, mengulas hasil tinjauan berkenaan, Saifuddin berkata, sebahagian besar mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing selepas berada di pusat penempatan sementara (PPS) sejak lima hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa banjir hanya pulang untuk melihat keadaan rumah dan melakukan kerja pembersihan.

"Namun, mereka kembali ke PPS kerana bimbang dengan hujan lebat dan air pasang yang masih melanda.

"Di kawasan ini, masih berlaku air pasang kerana lokasinya berhampiran dengan Sungai Kuantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 5:01 PM