MAS Ermieyati menziarahi warga emas di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MAS Ermieyati menziarahi warga emas di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin parti itu terutama wakil rakyat supaya tidak mengulas polemik politik yang ada kaitan dengan Umno.

Sebaliknya, mereka diarahkan memberikan tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan membimbangkan sejak minggu lalu.

Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, Perdana Menteri meminta beliau dan pemimpin Bersatu lain supaya tidak 'bercakap' mengenai hubungan dengan Umno.

"Presiden mengarahkan kami memberi tumpuan kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 kerana ia lebih penting berbanding hal politik ketika negara sedang menghadapi ancaman pandemik berbahaya itu.

"Selain pandemik berkenaan, kita juga memberi tumpuan kepada usaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu," katanya ketika ditemui pada program ziarah kasih di beberapa kediaman penduduk di tiga kampung di sini, hari ini.

Mas Ermiayti yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menziarahi warga emas selain meneliti kediaman mereka yang rosak untuk kerja pembaikan di Kampung Hailam, Balik Batu dan Ayer Hitam Pantai.

Hadir sama, Ketua Pas Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman dan Setiausaha Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Shahrul Azhar Amir.

Mas Ermieyati diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Ahad lalu yang antara lain menegaskan Umno akan mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Isnin lalu, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, beliau komited menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kawasan itu dan bakal untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Katanya, walau apapun alasan, beliau secara peribadi berpendirian untuk terus mempertahankan kerusi terbabit.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang kerusi Parlimen Masjid Tanah selepas menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Sabirin Jaafar dan calon Pas Nasir Othman.

Bagaimanapun beliau keluar Umno pada 1 Julai 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember tahun sama.

-ends-

Pix 1: Mas Ermieyati menyampaikan lampin pakai buang kepada anggota keluarga pesakit angin ahmar di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Pix 2 dan 3: Mas Ermieyati menziarahi warga emas di Kampung Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah.

Pix 4 dan 5: Mas Ermieyati menziarahi warga emas dan meneliti keadaan kediaman mereka di Kampung Balik Batu, Masjid Tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 1:49 PM