DR Mohd Shukri (dua kiri) dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim (dua kanan) melakukan gimik perasmian ketika program ''MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021'' di MSU Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
DR Mohd Shukri (dua kiri) dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim (dua kanan) melakukan gimik perasmian ketika program ''MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021'' di MSU Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kira-kira 1,000 penuntut Management and Science University (MSU) dari Sekolah Hospitaliti dan Seni Kreatif (SHCA) menyertai Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 membabitkan 17 mercu tanda di Bandaraya Shah Alam bermula 2 Januari dan berakhir tadi.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, objektif program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tourism Selangor itu bagi menerapkan kesedaran budaya serta mempromosikan keunikan 17 mercu tanda bandaraya Shah Alam dalam kalangan pelajar khasnya dan masyarakat amnya.

"Kira-kira 1,000 mengikuti program itu melalui pelbagai saluran media sosial termasuk youtube, aplikasi zoom serta berada di Teater Seni Persembahan atau Performing Art Theatre universiti ini (check point terakhir).

"Program ini kali pertama diadakan dalam normal baharu iaitu secara maya berbanding sebelum ini diadakan secara fizikal disebabkan penularan pandemik Covid-19," katanya. selepas melancarkan program MSU Shah Alam Heritage Walk: Virtual Edition 2021 di MSU, Seksyen 13 di sini, tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Di majlis sama, SHCA menyerahkan sebanyak RM15,000 kepada Naib Presiden Kanan Wakaf dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof yang mewakili Yayasan MSU.

Mohd Shukri berkata, sepanjang program itu berjalan, pelajar melalui pelbagai perhentian-perhentian iconik yang menarik di bawah kawasan pentadbiran MBSA.

"Antara perhentiannya adalah Muzium Sultan Alam Shah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Makam diraja Shah Alam,

"Begitu juga Perpustakaan Awam Raja Tun Uda, Bangunan Galeri Shah Alam, Teater Diraja Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam, Taman Botanikal Shah Alam serta pelbagai lagi mercu tanda ikonik di bandaraya Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, program berbentuk bimbingan (mentoring) itu juga bertujuan menerapkan kemahiran pelajar daripada segi pembangunan diri dan mengetengahkan kepentingan sejarah kepada generasi muda mengenai sejarah warisan negara amnya dan khasnya bandaraya Shah Alam.

"Perkara yang selalu ditekankan MSU adalah setiap pelajar akan menamatkan pengajian mereka mengikut tempoh yang ditetapkan, sebab itu program ini diadakan, memberikan manfaat kepada pelajar.

"Keperluan akademik mereka kita ubah daripada fizikal kepada virtual. Dalam masa sama, kita membangunkan karakter mereka dan mengekalkan nilai yang baik sekali gus melahirkan graduan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu katanya, program seumpama itu diadakan sebelum ini membabitkan penganjuran MSU Kuala Lumpur Heritage Walk (2018) dan Royal Klang Town Heritage Walk (2020).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:27 PM