GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurujual wanita menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana memiliki telefon bimbit curi.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Azidah Maulad Zakaria, 33, selepas dia mengaku bersalah memiliki telefon bimbit milik Muhammad Alif Nisam, 24, bernilai RM450 yang tertuduh mengetahui bahawa telefon itu diperoleh melalui rompakan berkumpulan.

Izralizam memerintahkan Nur Azidah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Dissember tahun lalu dan sebelum menjatuhkan hukuman, beliau turut menasihati tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama.

"Mengambil kira kepentingan kamu dan orang awam, saya akan beri hukuman yang wajar supaya memberi pengajaran kepada orang di luar sana… Selepas ini lebih berhati-hati," katanya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di PPR Gombak Setia, di sini pada 2 pagi, 30 Disember mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dengan nada sebak merayu hukuman ringan dengan alasan dia anak yatim piatu manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal dan turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mengikut fakta kes, pada 12 Disember tahun lalu, semasa pengadu (Muhammad Alif) sedang berkerja di sebuah kedai serbaneka, dua lelaki menggunakan parang telah merompak barang-barang di dalam premis tersebut termasuk telefon bimbitnya dan pada 30 Disember 2020 telefon itu dijumpai berada di tangan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:27 PM