FOTO hiasan
FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Lesen perniagaan dibatalkan dan disenarai hitam antara hukuman bakal diterima pemilik premis hiburan yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kesalahan ingkar membabitkan premis hiburan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara untuk meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap premis hiburan yang dikesan melanggar arahan PKPB.

"KPKT sudah menulis surat kepada kerajaan negeri untuk PBT ambil tindakan tegas terhadap premis termasuk menarik lesen dan senarai hitamkan jika didapati ingkar.

"Ini selaras dengan kelab malam yang masih termasuk dalam senarai aktiviti terlarang sepanjang PKPB dilaksanakan," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga sudah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membatalkan permit pekerja asing yang gagal menjalani saringan Covid-19.

Beliau berkata, pembatalan permit kerja itu juga menyebabkan warga asing tidak dapat bekerja di negara ini dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen.

"Kerajaan sudah berbincang dengan JIM dan majikan yang gagal hantar pekerja asing untuk saringan boleh dibatalkan permit pekerja mereka.

"Apabila tiada permit kerja ini bermakna mereka bekerja secara tidak sah di negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:14 PM