TRAFIK sesak di LPT1 di Temerloh apabila kenderaan diarah berpatah balik selepas laluan berhampiran Lanchang  ditutup. FOTO ROSELAN AB MALEK
TRAFIK sesak di LPT1 di Temerloh apabila kenderaan diarah berpatah balik selepas laluan berhampiran Lanchang ditutup. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: Terpaksa bermalam dalam kereta akibat laluan berhampiran Lanchang masih ditutup.

Itu antara kesulitan dihadapi pengguna laluan Lebuh raya Pantai Timur 1 (LPT1), sejak lewat malam tadi.

Penutupan laluan itu dilakukan pihak syarikat konsesi LPT1, ANIH Berhad berikutan laluan di Kilometer 84.6 hingga 84.7 dilimpahi air susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.

Pemandu dari Gua Musang, Azizi Mohd Zain, berkata dia dua kali terpaksa menukar laluan apabila terperangkap ketika melalui jalan Raub-Bentong, semalam sebelum memutuskan untuk menggunakan LPT1.

"Semalam saya sudah terperangkap di sana (Jalan Raub-Bentong) akibat banjir. Jadi saya fikir untuk cuba guna LPT1. Sampai kat sini, mereka (ANIH Berhad) memaklumkan jalan tak boleh dilalui sebab banjir.

"Buat masa ini, tunggu sajalah pengumuman mereka. Tidak ada pilihan laluan lain kerana semuanya dilanda banjir," katanya.

Wanita dikenali sebagai Wati berkata, dia bersama bayi dan ibunya berusia 80 tahun terpaksa bermalam di Temerloh berikutan laluan LPT1 berhampiran Lanchang tidak boleh dilalui.

"Saya bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan, semalam dan berkonvoi dua kereta bersama bayi dan emak berusia 80 tahun.

"Semalam kami terperangkap di Raub, jadi patah balik dan masuk LPT1.

"Apabila sampai di sini, kami terperangkap sekali lagi. Memang susahlah sebab kami ada bayi dan warga emas," katanya.

Bagi Farizal Mohamad dari Kuala Terengganu, Terengganu pula, dia tak sangka banjir kali ini begitu teruk hingga mengakibatkan laluan di LPT1 turut terjejas.

"Saya balik bercuti hujung tahun untuk tengok mak di kampung. Tak sangka banjir boleh teruk sampai macam ini.

"Tidak boleh buat apa dan hanya perlu tunggu maklumat terkini daripada laman web Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) dan ANIH (Berhad)," katanya yang turut bermalam dalam kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 8:50 PM