KAMPUNG Sepakat Baru Skudai dinaiki air sehingga pasar bumbung. FOTO Zain Ahmed
KAMPUNG Sepakat Baru Skudai dinaiki air sehingga pasar bumbung. FOTO Zain Ahmed
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perpaduan Negara akan menggerakkan 1,187 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) susulan keadaan banjir yang semakin serius.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, SRS itu akan digerakkan di kawasan kejiranan Rukun Tetangga khususnya di Johor, Pahang, Terengganu, Perak, Selangor dan Kelantan.

Katanya, SRS itu bertujuan membantu menjaga keselamatan harta benda ditinggalkan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selain memastikan tiada mangsa yang terkandas di kawasan banjir.

"Rondaan SRS ini dijalankan setiap hari melalui penggiliran tiga syif yang diadakan dengan sekurang-kurangnya lima anggota pada setiap syif," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Halimah berkata, operasi rondaan SRS dibuat mengikut prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, semua jentera SRS di seluruh negara perlu bersiap sedia bagi menjalankan tugas kawalan keselamatan di kawasan lain yang dilanda banjir.

"Skuad Uniti di semua daerah berkaitan juga diarahkan terbabit membantu Operasi Bantu Mula Bencana Banjir yang dijalankan agensi lain.

"Bantuan Skuad Uniti ini membabitkan pemindahan mangsa ke PPS, menyelamatkan harta benda, penyampaian sumbangan barang keperluan dan pembersihan rumah mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa semasa operasi pemindahan mangsa banjir terutama menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 6:30 PM