VAKSIN Covid-19 Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
VAKSIN Covid-19 Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
Mohd Amin Jalil

Rembau: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menegaskan bahawa vaksin Covid-19 yang dibeli Malaysia dijamin selamat kerana sudah diuji secara klinikal sebelum ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, apabila vaksin itu tiba di Malaysia dijangka pada Februari nanti, vaksin itu tidak perlu diuji lagi kerana ia dijamin selamat digunakan.

"Saya ingin tegaskan bahawa vaksin Covid-19 itu sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang.

"Harus diingat bahawa Malaysia bukan negara pertama yang menerima vaksin Covid-19 dan kita dapat lihat daripada maklumat bahawa vaksin yang sudah digunakan di Amerika Syarikat dan England adalah selamat.

"Kita tidak dengar ada kes yang membabitkan isu vaksin dan masalah kesihatan atau kesan sampingan negatif. Yang kita dengar bahawa ada jururawat pengsan seperti yang tular di laman sosial kononnya disebabkan vaksin, sebenarnya tiada kaitan dengan vaksin," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas berakhir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2020 di Dewan Biduanda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu berkata, keadaan itu seharusnya memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap keberkesanan vaksin berkenaan.

Justeru, beliau berkata, rakyat tidak harus bimbang kerana semua vaksin yang dibeli kerajaan itu kerana sudah diuji keberkesanannya sebelum kerajaan membelinya.

"Ketika ini, kerajaan sedang melihat dari segi maklumat klinikal yang diberikan oleh syarikat pembekal vaksin dan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan maklumat itu, maka selamatlah kita menggunakan vaksin tersebut.

"Malah, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga sudah buat kenyataan bahawa penggunaan vaksin ini adalah harus," katanya.

Katanya, kementeriannya akan terus membantu dalam memberikan penerangan kepada orang ramai terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan, bagi mengurangkan kegusaran rakyat.

Menurutnya lagi, MOSTI akan memastikan Pelan Vaksinasi Kebangsaan berjalan lancar dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 akan diadakan pada Khamis ini, bagi memuktamatkan pelan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 5:10 PM