GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Operasi bagi Taska Genius Perpaduan untuk 2021 akan dimulakan secara berperingkat-peringkat mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia selaras dengan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perpaduan Negara menyatakan tarikh permulaan operasi Taska Genius Perpaduan serentak dengan tarikh pembukaan Taska di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di setiap negeri dan daerah.

Kenyataan itu menyatakan, Taska Genius Perpaduan Negara dimulakan hari ini di Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan manakala operasi di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan daerah Jempol, Negeri Sembilan bermula esok.

Katanya, operasi di Selangor, Kuala Lumpur dan daerah Seremban, Negeri Sembilan akan bermula pada 15 Januari ini manakala Taska Genius Perpaduan Negara di Labuan akan mula beroperasi pada 11 Januari nanti.

"Setiap guru hendaklah menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan ke Taska Genius Perpaduan, seperti diarahkan KKM.

"Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, pembukaan Taska Genius Perpaduan diharapkan akan dapat membantu ibu bapa yang memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak ketika mereka berada di tempat kerja.

"Beliau turut mengingatkan ibu bapa yang menghantar anak ke Taska Genius Perpaduan agar mematuhi SOP ditetapkan, mengamalkan normal baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri," katanya.

Kenyataan itu menyatakan, kementerian berkenaan akan memastikan semua operasi Taska Genius Perpaduan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan arahan semasa oleh MKN dan KKM.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 5:03 PM