GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bimbang ditangkap polis kerana didakwa terbabit dalam kes pengubahan wang haram, seorang warga emas kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Kejadian dipercayai bermula pada awal Disember lalu selepas wanita berusia 70-an itu menerima panggilan individu yang mendakwa daripada syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, individu terbabit kemudian memaklumkan mangsa dikesan ada membuat permohonan lesen judi dalam talian.

Katanya, mangsa menafikan tuduhan itu sebelum panggilannya disambung kepada 'anggota polis' yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Mustafar', 'Inspektor Mazlan' dan 'Inspektor Maria Adriana' yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.

"Suspek memaklumkan mangsa dikehendaki pihak berkuasa kerana terbabit dengan kes pengubahan wang haram sebelum diminta memberikan maklumat akaun bank untuk tujuan audit dan siasatan.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan semua wang simpanannya selain sanggup mencairkan modal pelaburannya dengan pihak bank ke dalam akaun miliknya yang berjumlah lebih RM300,000.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari berlaku 28 kali transaksi pindahan wang ke dalam tujuh akaun berbeza tidak dikenali tanpa pengetahuannya membabitkan keseluruhan transaksi bernilai lebih RM300,000," katanya.

M Zambri berkata, mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kelmarin.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, M Zambri turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon sama ada melalui talian mudah alih atau talian tetap yang mengaku daripada pihak penguat kuasa atau mana-mana agensi kerajaan.

"Jangan sesekali memberikan maklumat perbankan internet kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

"Peringatan seperti ini sudah kerap kali diwar-warkan sebelum ini tetapi masih ramai lagi yang menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 5:33 PM