Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 297 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 294 daripada jumlah itu dikompaun dan tiga lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk termasuk aktiviti pusat hiburan (103), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (21), tidak memakai pelitup muka (95), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (75) dan lain-lain (3).

"PDRM juga sudah membuat 43,106 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya menerusi sidang media mengenai perkembangan PKP, hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong serta merampas empat kenderaan darat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Mengulas berhubung saringan wajib pekerja warga asing, Ismail sabri berkata, sehingga hari ini seramai 70,159 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 2,405 majikan.

"Sehingga kini juga, sebanyak 749 buah klinik terbabit dengan program saringan ini.

"Kerajaan akan menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari nanti di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 6:48 PM