GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang guru muzik kerugian RM3,000 akibat ditipu seorang wanita dari Russia yang kononnya ingin membeli keropok lekor dijualnya di Facebook.

Mangsa berusia 20-an itu menerima pesanan daripada suspek yang berminat untuk membeli keropok lekor diiklannya di laman sosial pada Jumaat lalu dengan harga RM130.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian memberitahu kepada mangsa melalui emel bahawa dia sudah membuat bayaran melalui bank Europe Credit Russia.

"Namun mangsa dikehendaki membuat bayaran balik sebanyak RM1,000 memandangkan suspek memasukkan lebihan bayaran berjumlah RM1,130.

"Berikutan tidak mengesyaki apa-apa mangsa membuat bayaran balik kepada mangsa, namun dia pula diminta membuat bayaran kedua untuk proses kelulusan pihak bank dan dijanjikan akan mendapat balik wang.

"Selepas menjelaskan bayaran, suspek masih meminta membuat bayaran lagi hingga mangsa sedar dirinya terperangkap dalam sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang kerugian keseluruhan RM3,000 datang membuat laporan polis, semalam untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan perempuan dikatakan dari Russia itu adalah ahli sindiket pembelian dalam talian yang tidak wujud berdasarkan modus operandi digunakan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Noorzainy berkata, seorang pengurus syarikat swasta berusia 40-an mengalami kerugian RM2,800 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pembelian nombor pendaftaran kenderaan dalam talian.

"Mangsa tertarik untuk membeli nombor pendaftaran kenderaan diiklankan di Facebook pada Selasa lalu sebelum menghubungi seorang lelaki dari syarikat menawarkan penjualan nombor pendaftaran itu.

"Lelaki itu menunjukkan beberapa nombor pendaftaran yang menarik minat mangsa dan mangsa terus membuat bayaran RM2,800.

"Namun, selepas bayaran dibuat mangsa diberikan pelbagai alasan oleh suspek dan seterusnya suspek gagal dihubungi lalu mangsa sedar dirinya ditipu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 3:38 PM