Barang yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan polis
Barang yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan polis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penipuan pelaburan Bitcoin dalam serbuan di Taman Abad di sini, jam 5.30 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Fadzli Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan termasuk lelaki warganegara China masing-masing berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Katanya, semua tangkapan disyaki terbabit dalam pelaburan bitcoin yang tidak wujud dalam talian dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan selain komisyen 5 peratus dari hasil penipuan.

"Terdapat satu laman web yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam aktiviti pelaburan bitcoin tidak wujud.

"Suspek juga berperanan mencari mangsa di media sosial dengan memulakan perbualan sebagai kawan sehingga mendapat kepercayaan daripada mangsa dan seterusnya mendorong (mangsa) untuk melabur dalam bitcoin.

"Mangsa juga dikehendaki mendaftar semasa menyertai pelaburan berkenaan bagi mendapatkan kata nama dan kata laluan. Mangsa yang menyertai pelaburan ini juga dikehendaki untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang dipercayai dikawal dari China," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Padzli, semakan rekod jenayah mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kes jenayah.

Katanya, dalam serbuan itu pihak polis berjaya merampas sebuah laptop jenama Dell dan 25 telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

"Semua suspek warga tempatan ditahan reman selama tiga hari dan seorang saspek warganegara China ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ditawarkan untuk sertai sebarang pelaburan. Masyarakat diingatkan sebelum menyertai sebarang pelaburan, pastikan pelaburan adalah wujud dan berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 3:09 PM