- Foto hiasan
- Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di atas hasrat menyumbang vaksin Covid-19 yang antara lain bagi tujuan kajian klinikal di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al Sultan Abdullah turut berkenan berkongsi pandangan mengenai beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui keboleh laksanaan kajian klinikal sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia.

"Hasrat sumbangan vaksin ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin kukuh di antara kedua-dua negara.

"Ia turut menunjukkan Malaysia dan UAE berupaya bersama berganding bahu dalam memerangi wabak Covid-19 dan kerjasama bagi pemulihan pasca Covid-19," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, UAE yang berakhir pada hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Kerajaan UAE di atas layanan amat istimewa diberikan sepanjang lawatan khas ini, termasuk menanggung semua kos logistik Seri Paduka Baginda dan delegasi.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat tiba di tanah air, esok dan Baginda serta delegasi akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik saja mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Delegasi pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan KKM," katanya.

Beliau berkata, lawatan khas Baginda ke UAE mencerminkan hubungan dua hala kedua-dua negara yang kukuh di samping pemantapan hubungan erat sudah terjalin di antara kedua-dua pemimpin.

Katanya, lawatan Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Masdar City sudah memberi pendedahan sangat berguna, khususnya dalam mengenal pasti kerjasama dan usaha sama di dalam bidang huluan dan hiliran petrokimia dan penapisan minyak serta tenaga boleh diperbaharui.

"Kehadiran Sheikh Mohamed semasa ketibaan Al-Sultan Abdullah di lapangan terbang Abu Dhabi dan kunjungan mesra dalam lawatan ini jelas menunjukkan keakraban kedua-dua pemimpin yang terjalin sejak lebih 40 tahun lalu.

"Ini kali ketiga Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu lawatan pertama pada 12 hingga 15 Jun 2019 dan disusuli dengan lawatan kedua, iaitu lawatan peribadi atas persilaan Sheikh Mohamed, pada 29 November hingga 3 Disember tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Sheikh Mohamed sudah melakukan lawatan khas ke Malaysia atas persilaan Al-Sultan Abdullah bersempena dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai 2019.

Pada tahun lalu, UAE adalah rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah AS$6.42 bilion (RM26.07 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 9:05 PM