Pemandu kereta maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori muatan ais di Kilometer (KM) 43 Jalan Ipoh - Teluk Intan kira-kira jam 2.30 petang tadi. FOTO Ihsan PDRM.
Pemandu kereta maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori muatan ais di Kilometer (KM) 43 Jalan Ipoh - Teluk Intan kira-kira jam 2.30 petang tadi. FOTO Ihsan PDRM.
Oleh Rosman Shamsudin


Tapah: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan ais di Kilometer (KM) 43 Jalan Ipoh - Teluk Intan kira-kira 2.30 petang tadi.

Dalam kejadian terbabit, mangsa Chin Kok Wah berumur 40 tahun yang memandu kereta Proton Wira disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal pihak polis mendapati ketika kejadian, lori muatan ais terbabit dalam perjalanan dari Kampar ke Teluk Intan bagi menghantar ais.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke dalam lorong bertentangan sebelum bahagian kiri kereta mangsa dilanggar lori ais dipandu oleh seorang lelaki berumur 26 tahun.

"Akibat kejadian terbabit, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori ais hanya mengalami cedera ringan.

"Mangsa yang meninggal dunia berasal dari Kampar, Perak dan bekerja sendiri dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 9:15 PM